Monday, October 11, 2010

Wook lega suami bebas dadah


MOHD. NOR memimpin tangan isterinya, Wook keluar dari mahkamah selepas dibebaskan di Kuala Berang, Hulu Terengganu semalam.


HULU TERENGGANU - Tiada hari paling bermakna buat Wook Kundur, 108, melainkan dapat bertemu semula dengan suaminya, Mohd. Nor Musa, 38, yang dibebaskan oleh Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan mengambil dadah.

Wook yang dipercayai wanita tertua di Terengganu turut melahirkan rasa syukur kerana wang jaminan sebanyak RM2,000 yang dikeluarkan untuk menjamin suaminya sebelum ini telah dikembalikan kepadanya.

"Tok tidak pernah memusuhi Mohd. Nor kerana Tok tahu dia tidak bersalah.

"Tok juga sangat bersyukur kerana dapat semula wang jaminan RM2,000 yang boleh digunakan untuk perbelanjaan kami berdua selepas ini," katanya.

Dalam keputusan semalam, Mahkamah Majistret membebaskan Mohd. Nor selepas didapati tidak bersalah menggunakan dadah ketika ditahan dalam satu operasi polis di Kampung Pasir Tinggi dekat sini kira-kira pukul 10.30 pagi pada 12 Ogos lalu.

Saturday, September 11, 2010

Wook pilih baju raya merah jambu


WOOK menunjukkan baju raya berwarna merah jambu ketika ditemui di
Kampung Tok Randok, Ajil, Kuala Berang semalam.


HULU TERENGGANU - Usianya sudah mencecah 108 tahun, namun Wook Kundur tetap ingin tampil bergaya bersama suami yang 70 tahun lebih muda daripadanya, Mohd. Nor Musa, 38, sempena Aidilfitri ini.

Wook yang dipercayai wanita tertua di negeri ini juga sudah memilih sepasang baju kurung moden dan sepasang baju Melayu yang kedua-duanya berwarna merah jambu untuk dipakai ketika lebaran.

Menurut Wook, kedua-dua pasang baju itu adalah pemberian sekumpulan individu yang bermurah hati membawanya ke butik pakaian di pekan Kuala Berang dekat sini baru-baru ini.

Kesempatan itu digunakan sebaik mungkin oleh Wook untuk memilih pakaian idamannya.

"Syukur Alhamdulillah, walaupun Nor (Mohd. Nor) banyak buat hal tapi sebab tok kahwin dengan dia, ramai orang datang tolong tok," katanya ketika ditemui di rumah adiknya Minah Kundur, 66, di Kampung Tok Randok, Ajil dekat sini semalam.

Namun jelasnya, ketiadaan suaminya yang menjalani pemulihan di Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di Ajil dekat sini sedikit menyukarkannya untuk pergi ke masjid bagi menunaikan solat tarawih.

"Kalau boleh tok mintak Nor dilepaskan sebelum hari raya nanti kerana tok mahu memohon maaf dan beraya bersamanya," katanya.

Wook gembira beraya bersama suami


WOOK Kundur setia menanti kepulangan suaminya yang sedang menjalani rawatan pemulihan penagihan dadah ketika ditemui di Kampung Tok Randok, Hulu Terengganu, semalam.


HULU TERENGGANU 9 Sept. - Ramai yang bertanyakan mengapa Wook Kundur, 108, masih sanggup menerima Mohd. Nor Musa, 38, yang sudah dua kali ditahan kerana penagihan dadah sebagai suami dengan penuh rasa kasih sayang.

Hubungannya dengan lelaki muda itu bukan mudah untuk dipisahkan oleh Wook yang telah 22 kali berkahwin sebelum ini sepanjang usianya.

Baginya, dia mengimpikan inilah perkahwinan terakhir dalam hidupnya yang sudah menjangkau begitu lama.

"Tok memang marah sangat dengan Nor sebab sebelum ini dia dah janji dan insaf tak mahu terlibat lagi dengan dadah tapi dia terpengaruh juga dengan rakan-rakannya.

"Tok sedih tapi kali ini tok nak ajar Nor. Kalau dia kembali sekali lagi menagih tok tak mahu jamin dah...biarlah ini kali terakhir.

"Tok mahu dia sedar dan fikir sendiri masa dia tinggal di pusat pemulihan itu nanti betapa sayangnya tok pada dia," katanya ketika ditemui di rumah adiknya di Kampung Tok Randok di sini semalam.

Namun seburuk mana tanggapan orang terhadap suaminya, Wook percaya, tiada siapa yang lebih menyayangi dirinya berbanding Mohd Noor.

Baginya Mohd Nor membuatkan dirinya begitu dihargai dalam usia yang sudah begitu lanjut ketika mungkin tiada siapa lagi yang akan ambil peduli, apatah lagi untuk mengisi kesepiannya terutama pada hari raya.

Menurut Wook, dia amat gembira pada tahun ini kerana dapat beraya bersama suami yang sekali lagi berada di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Besut dan akan diberi pelepasan selama dua minggu.

Katanya, dia sememangnya tidak bersemangat membuat persiapan raya memandangkan suaminya berada di pusat pemulihan dan menjangkakan dia terpaksa menyambut Syawal bersendirian lagi tahun ini.

"Memang tok ingat Nor tak dapat beraya bersama di rumah kami di Kampung Tok Bat, Kuala Berang namun selepas dimaklumkan dia akan diberi pelepasan, tok berasa gembira walaupun sedih apabila dia terlibat dengan penagihan dadah sekali lagi baru-baru ini.

"Tapi apa yang penting, tahun ini tok tak sunyi lagi kerana Nor akan menemani tok beraya...baru rasa semangat nak pakai baju raya yang dibeli," katanya.

Mohd. Nor ditahan pada 9 Ogos lalu buat kali kedua tidak lama selepas sebulan dibebaskan kerana kembali terlibat dalam penagihan dadah.

Thursday, August 19, 2010

Wook tak mahu jadi janda.


WOOK tetap setia dengan suaminya, Mohd. Nor (gambar kecil).

HULU TERENGGANU – Warga emas berusia 108 tahun, Wook Kundur akan setia menunggu suaminya, Mohd. Nor Musa, 38, sehingga dia betul-betul insaf dan meninggalkan ketagihan dadah kerana tidak mahu menjadi janda untuk kali ke-23.

Namun, dalam tegas dia menyatakan, ini adalah kali terakhir dia mengeluarkan simpanannya untuk menjamin suaminya dan jika Mohd. Nor ditahan lagi selepas ini, lelaki itu terpaksa meringkuk di penjara.

“Tok tetap akan tunggu dia sebab tak nak jadi janda lagi,” kata Wook mengulas tindakannya mengeluarkan simpanan sebanyak RM2,000 untuk membebaskan Mohd. Nor yang sekali lagi ditahan dipercayai terlibat dengan dadah pada 9 Ogos lalu.

Sebelum ini, Mohd. Nor pernah ditahan selama setahun di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Sungai Besi dan Besut sebelum dibebaskan 15 Julai lalu.

Menurut Wook yang ditemui di rumah adiknya di Taman Perumahan Tok Randok, Ajil dekat sini, dia memang kesal dengan tindakan suaminya itu yang disifatkan masih tidak insaf kerana masih terjebak dengan dadah.

Bagaimanapun, katanya, dia juga tidak mahu ada perkahwinan lain lagi selepas ini.

Tuesday, August 17, 2010

Mohd Nor hanya ada Mek Wook


KUALA TERENGGANU – Mohd. Nor Musa, 38, suami kepada seorang warga emas berusia 108 tahun, Mek Wook Kundur menyifatkan dia bernasib baik kerana dikurniakan seorang isteri yang masih menerima dirinya dalam keadaan dia dihina oleh masyarakat sekeliling.

Menurut Mohd. Nor, meskipun Mek Wook tahu dia terlibat dalam masalah dadah namun isterinya itu tetap sentiasa berada di sisinya dan membantu ketika dalam kesusahan.

“Saya rasa saya cukup bertuah kerana masih bersamanya (Mek Wook). Dia tidak pernah membenci saya, malah jauh sekali untuk meninggalkan saya,” kata Mohd Nor.

Monday, August 16, 2010

Demi cinta Wook jamin suaminya RM2,000


WOOK mengiringi Mohd. Nor selepas membayar wang jaminan kes dadah suaminya itu di Mahkamah Majistret di Hulu Terengganu semalam.

HULU TERENGGANU - Demi perasaan sayang kepada Mohd. Nor Musa, 38, warga emas berusia 108 tahun, Mek Wook Kundur sanggup menghabiskan duit simpanannya sebanyak RM2,000 untuk menjamin keluar suaminya itu yang ditahan sekali lagi kerana kes dadah.

Menurut Wook, duit simpanan untuk sambutan Aidilfitri itu terpaksa dikorbankan demi untuk berpuasa dan beraya bersama Mohd. Nor yang baru sahaja dibebaskan dari pusat pemulihan di Sungai Besi, Kuala Lumpur bulan lalu.

Semuanya dilakukan Wook demi Mohd. Nor yang sekali lagi ditahan kerana dipercayai mengambil dadah dalam satu operasi polis di Kampung Pasir Tinggi dekat sini kira-kira pukul 10.30 pagi Khamis lalu.

Majistret Mahkamah Hulu Terengganu, Azman Mustapha membenarkan Mohd. Nor diikat jamin selepas kesnya disebut oleh Pegawai Pendakwa, Cif Inspektor Tuan Rosmah Tuan Husain di sini semalam.

Selain itu, Majistret turut menetapkan 10 Oktober ini sebagai tarikh pendakwaan kes tersebut.

Pada 7 Julai tahun lalu, Mohd. Nor pernah ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) atas kesalahan sama dan ditahan di Pusat Penagihan Narkotik (Puspen) Sungai Besi sebelum dipindahkan ke Puspen Besut.

Jelas Wook, biarpun dia kecewa dengan perbuatan suaminya itu, namun kerana sayang dan tidak mahu menyambut Aidilfitri dan berpuasa sendirian seperti tahun lalu, dia terpaksa mengorbankan simpanannya.

"Dia tetap suami tok dan tok tetap sayang walau apa pun yang dia buat.

"Tapi tok rasa sedih fikirkan apa yang dia buat sebab tok ingatkan dia dah insaf," katanya ketika ditemui dekat sini semalam.

Sunday, July 18, 2010

Nek Wook mahu anak

KUALA TERENGGANU: Warga emas, Wook Kundur dan suami ke-23nya, Mohd Noor Che Musa, yang ditemukan semula Khamis lalu, berhasrat untuk terus mengecapi kebahagiaan rumah tangga dengan menambah ahli keluarga 'baru'.

Mohd Noor berkata, dia ingin memenuhi hasrat isterinya yang berusia 108 tahun itu untuk menimang cahaya mata.

"Kami cuba (mendapatkan anak) sebelum ini tetapi faktor usia menjadi penghalang.

"Jadi, kami mengambil keputusan mengambil anak angkat, jika boleh, bayi lelaki," tambah Mohd Noor, 38, yang baru dibebaskan daripada rawatan di pusat pemulihan dadah selama 18 bulan.

Mohd Noor gembira bertemu isterinya Wook Kundor selepas 18 bulan berpisah di Tanah Merah pada Jumaat.

Mohd Noor berkata, dia merasakan kehadiran anak kecil mampu menceriakan suasana di kediaman pasangan tersebut di Kampung Bukit Tok Bat, Kuala Berang itu.

"Kami berbincang tentang anak dan Nek Wook bersetuju yang kami perlu mengambil anak angkat secepat mungkin," tambahnya.

Katanya, dalam perjalanan pulang dari Pasir Mas, Kelantan, Sabtu, isterinya menunjukkan sebuah premis menjual sarung tangan dan produk bayi.

"Melihatkan perbuatannya itu, saya sedar yang dia betul-betul inginkan anak," ujarnya, menambah mereka ingin bayi yang sudah membesar kerana lebih mudah dijagai.

"Saya tidak mengharapkan isteri berlari ke sana ke mari pada usianya apabila saya perlu bekerja untuk memelihara keluarga," katanya.

Mohd Noor bagaimanapun berkata, mereka tidak mempunyai masalah menerima bayi yang baru lahir.

"Kami sanggup menerima bayi yang lahir luar nikah.

"Daripada anak itu dibuang, berilah kepada kami dan kami berjanji akan menjaganya," katanya yang sanggup mengadakan pertemuan tertutup dengan pasangan terbabit.

Wook Kundor sebelum ini enggan bercerita mengenai perkahwinan terdahulu dan anak-anak.

Apabila ditanya mengenai perpisahan selama berbulan-bulan bersama isterinya itu, Mohd Noor berkata, dia merindui Wook Kundor dan kesal atas tindakannya sebelum ini.

"Isteri meminta saya berhenti menghisap dadah tetapi ketika itu saya terlalu terjebak," katanya sambil menambah, kejadian itu menyebabkan dia mengabaikan Wook Kundor.

"Kini saya sudah berubah dan menghargai setiap saat bersama isteri," katanya lagi.

Jodoh pertemuan antara Wook Kundor dan suaminya yang jauh lebih muda, lima tahun lalu itu mencuri perhatian media seluruh dunia.

Pun begitu, Mohd Noor ditahan atas kesalahan penyalah gunaan dadah awal tahun lalu, mengakibatkan wanita itu terpaksa berpindah ke rumah saudaranya di Pasir Mas.

Setelah suaminya ditahan, Wook Kundor mengadu tentang kesunyian hidupnya tanpa insan tersayang di sisi.

Saturday, July 17, 2010

Wook-Berilah suami saya kerja ?


WOOK Kundor duduk di pangkuan suaminya, Mohd. Noor Che Musa di Kampung Chat Rimau, Tanah Merah, Kelantan, semalam.


TANAH MERAH - ''Syukurlah suami dah balik, suka lah hati kita dapat jumpa semula sebab sayang sangat padanya dan harap lepas ni, peliharalah kita baik-baik."

Kata Wook Kundor, 108, setelah suaminya, Mohd. Noor Che Musa, 38, dibebaskan dari Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Besut, Terengganu semalam,

Detik itu juga mengakhiri penantian Wook selama 12 bulan lapan hari apabila Mohd. Noor yang muda hampir 70 tahun daripadanya kembali ke pangkuannya.

Wook melahirkan perasaan tersebut ketika ditemui di rumah pusaka milik keluarga Mohd. Noor di Kampung Chat Rimau di sini hari ini.

Disaksikan saudara mara dan jiran tetangga terdekat yang menziarahi, Wook kelihatan bergurau senda dengan suami dan sesekali dilihat merajuk namun tetap setia melayan suami yang bersiap sedia ke masjid berhampiran untuk menunaikan solat Jumaat.

''Jadual hidup kami akan kembali seperti sebelum Mohd. Noor ditahan, macam isteri-isteri lain, saya juga akan melayan makan dan minumnya.

''Dia juga telah berjanji akan mencari pekerjaan untuk menampung perbelanjaan kami, lagipun dia masih muda dan tubuh masih tegap dan gagah, banyak pekerjaan boleh dilakukan," katanya yang tidak lepas memandang ke arah Mohd. Noor.

Wook yang pada mulanya enggan ditemu bual dan diambil gambar atas alasan sibuk berkemas untuk kembali ke rumahnya di Kampung Bukit Tok Bat, Kuala Berang, Terengganu kerana telah lama mengosongkan rumah tersebut akhirnya beralah, apabila suami memujuk.

''Sejak suami ditahan, saya takut tinggal seorang diri di rumah dan menumpang di rumah adik di Jerangau, Terengganu sebelum tinggal bersama anak angkat di Bachok dan bila Mohd. Noor bebas baru saya datang ke sini," katanya.

Kebimbangan Wook nyata berasas apabila diberitahu jiran di kampungnya, sebanyak dua kali rumahnya dimasuki pencuri dan segala perabot termasuk peti sejuk dan periuk belanga yang sebahagiannya hasil sumbangan orang ramai telah dilarikan.

''Saya rasa seperti sudah jatuh ditimpa tangga, kami bukan orang senang, tinggal dalam rumah yang sebahagiannya hampir reput tetapi masih ada yang mahu mencuri harta benda yang ada serba sedikit.

''Sebentuk cincin emas, sebilah keris dan beberapa helai pakaian milik suami turut dicuri, sekarang ini saya rasa rumah saya kosong dan sudah tidak ada apa-apa, hendak mengadu pada siapa pun saya tidak tahu," katanya meraih simpati.

Kisah perkahwinan Mohd. Noor dengan Wook, pada lima tahun lalu mendapat liputan meluas media. Ia merupakan perkahwinan kali ke-23 bagi warga emas itu.

Sementara itu, kesetiaan Wook yang sanggup menunggunya dibebaskan dari Puspen dan telah menziarahinya sebanyak lima kali sepanjang tempoh ditahan menambah perasaan sayang Mohd. Noor terhadap isterinya itu.

''Rasa kasih sayang isteri cukup mengharukan saya malah sepanjang ditahan di Puspen, saya sentiasa teringatkan Wook. Saya akui tersilap langkah kerana terlibat dengan perkara yang tidak baik dan sekarang saya insaf dan bertaubat.

''Kalaulah saya mendengar nasihatnya dulu, tentu perkara begini (terlibat dengan dadah) tidak berlaku dan saya akan sentiasa ada di sisinya. Selepas ini saya mahu berubah dan berusaha mencari sinar baru dan berazam mencari pekerjaan bagi menampung hidup kami berdua," katanya.

Tambahnya, dia berterima kasih kepada kakitangan Puspen yang memberinya peluang mengenali diri sendiri ke arah menjadi manusia lebih bertanggungjawab.

''Apa yang saya peroleh sepanjang proses pemulihan akan digunakan sebagai bekalan memperbaiki diri. Saya yakin boleh berubah menjadi manusia yang lebih berguna.

''Kakitangan Puspen juga memberi suntikan semangat baru untuk saya menggalas tanggungjawab sebagai suami malah kesetiaan isteri menyentuh hati saya dan perasaan sayang padanya bertambah," ujarnya.

Mohd. Noor dimasukkan ke Puspen Sungai Besi pada 7 Julai tahun lalu sebelum dipindahkan ke Puspen Besut pada 31 Disember tahun lalu atas permintaan Wook yang sukar untuk menziarahi Mohd. Noor.

Sementara itu, Wook merayu mana-mana pihak yang sudi menghulurkan bantuan untuk mengambil suaminya bekerja kerana ia akan menjamin pendapatan mereka suami isteri.

''Saya berharap sangat, suami saya mendapat pekerjaan kerana sebelum ini pun dia pernah bekerja di kilang. Kalau dia bekerja, dapatlah menampung hidup kami yang serba kekurangan," ujarnya.

Dia juga memohon mana-mana pihak yang prihatin dengan nasibnya agar dapat membantu membaik pulih rumahnya dan membeli kelengkapan perabot yang telah dilarikan pencuri, lebih-lebih lagi menjelang persiapan menyambut Ramadan tidak lama lagi.

Kepada yang ingin menghulur bantuan, Wook dan suami boleh dihubungi di talian 014-5498122.

Thursday, July 15, 2010

Suami Wook Kundor bebas dari pusat pemulihan dadah


MOHD. NO0R melangkah pulang setelah dibebaskan dari Puspen, Besut semalam.


BESUT - "Lepas ni saya nak belajar pondok untuk mendalami ilmu agama."

Itu luahan pertama Mohd. Noor Che Musa, 38, suami kepada warga emas, Wook Kundor sebaik sahaja dibebaskan dari Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Besut di sini semalam.

Mohd. Noor yang pernah menggemparkan negara apabila mengahwini seorang warga emas berusia 108 tahun, Wook Kundor dua tahun lalu dibenarkan keluar dari pusat itu selepas selesai menjalani pemulihan selama 12 bulan akibat menagih dadah.

Sejurus dibebaskan, Mohd. Noor yang kelihatan sayu meninggalkan pintu utama Puspen menadah tangan tanda syukur sambil berniat mahu mengubah nasibnya demi masa depan diri dan isteri.

"Selain belajar pondok, saya tekad mencari pekerjaan yang sesuai untuk kehidupan kami suami isteri," katanya ketika ditemui di luar Puspen di sini semalam.

Walaupun kelibat Wook tidak kelihatan sejurus dia dibebaskan semalam, Mohd. Noor tetap tenang dan mahu menjadikan pengalamannya selama 12 bulan di Puspen untuk menjadi manusia berguna.

"Saya janji tidak akan terlibat dalam sebarang bentuk penagihan dadah. Selepas ini, saya mahu menghabiskan banyak masa bersama isteri tersayang dan mahu menjaganya dengan baik," jelasnya.

Mohd. Noor dimasukkan ke Puspen Sungai Besi pada 7 Julai tahun lalu selepas ditangkap oleh sepasukan anggota penguat kuasa Agensi Anti Dadah Kebangsaan di Kampung Bukit Tok Bat, Kuala Berang, Hulu Terengganu.

Dia bagaimanapun dipindahkan ke Puspen Besut pada 31 Disember tahun lalu atas permintaan Wook yang mengakui kesukaran untuk menziarahi suaminya itu.

Mohd. Noor yang ditemani anak saudaranya keluar dari Puspen semalam akan bertolak ke Tanah Merah, Kelantan sebelum menemui isterinya yang kini tinggal sementara di Beris, Bachok, Kelantan.